Thursday, June 11, 2015

Untuk Kita Pendosa

     Sejarah telah menunjukkan manusia merupakan makhluk yang sangat sinonim dengan kerosakan dan kebinasaan. Di mana ada yang tertindas, di situ wujud penindas, penzalim dan penjenayah. Hakikat manusia itu sendiri tidak lari daripada berbuat kesalahan dan dosa. Zalim itu sama ada terhadap diri sendiri atau pun orang lain. Kerana itu Rasulullah s.a.w menyebut bahawa setiap bani adam itu adalah pesalah, dan sebaik-baik pesalah itu adalah yang bertaubat. 

     Iman itu sentiasa naik dan turun bagi kita manusia biasa. Kadang-kadang kita cenderung kepada melakukan kesilapan dan pada sesetengah waktu, kita mudah pula nak buat ibadah dan amal kebajikan yang lain. Tidak ada antara kita yang bukan maksum ni, orang yang tidak pernah melakukan kesalahan.

Di mana letaknya pemisah?

     Sudah tentu tidak sama orang yang berbuat kebaikan dan orang yang sebaliknya. Tidak sama. Disebabkan semua pernah melakukan silap dan dosa, apakah yang membezakan kita? Adakah seorang penzina itu sentiasa hina dan keji? Tidak. Semestinya tidak. Harapan seorang hamba serta keinginannya untuk berubah itu adalah pemisah antara para pendosa dan pelaku maksiat.

     Seorang hamba itu apabila dia menyedari kesilapannya lalu mempasakkan dalam hatinya "aku ingin berubah" "aku nak masuk syurga" "Allah sayangkan aku", kemudian dia berlari ke pangkuan, dakapan rahmat dan kasih sayang Allah, mana mungkin Allah akan menolak hamba tersebut. Dia yang menyayangi hamba-hambaNya masih terus menerus memberi peluang dan membuka pintu pengharapan kepada para pendosa yang ingin kembali. Sungguh, Tuhan tu benar-benar pengasih. Insan, apabila ia berbuat sesuatu dosa atau kesilapan, Allah tidak terus menghukumnya. Bahkan masih lagi dia diberi udara untuk bernafas, bumi untuk berpijak dan atap untuk ia berteduh.

     Keinginan dan nawaitu untuk berubah tu saja sudah memadamkan dosa-dosanya kerana niat seorang muslim itu lebih baik daripada amalnya. Kemudian dia susuli azam itu dengan amal kebajikan, itulah sebaik-baik orang yang bertaubat.

          "Dan (orang bertaqwa itu ialah) orang-orang yang apabila ia melakukan kesalahan atau           menzalimi diri mereka sendiri, mereka ingat Allah seraya meminta ampun daripadaNya atas dosa-dosa mereka, siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah?" Ali Imran:135

Apakah penghalang?

     Kembalinya seorang insan kepada Tuhannya merupakan antara nikmat terbesar baginya. Semestinya sesuatu yang mahal tu tidak datang bergolek atau secara mudah. Penghalang bagi proses hijrah ini selalunya kembali kepada faktor dan keadaan seseorang individu. Namun, apa pun, semuanya terbit daripada keinginan dan pengharapannya kepada Tuhan.

     Kebanyakan manusia tu bila dia nak kembali atau berhijrah, mula datang bisikan-bisikan jahat yang cakap "poyolah kau ni" "bajet baik pulak" "kau pon sama je". Percayalah, itu semua bisikan syaitan yang takut dan lemah apabila "regular victim" dia nak keluar daripada perangkap sarang syaitan. Allah takkan jemu untuk terima taubat kita sampailah kita sendiri rasa jemu dan malu nak bertaubat.

     Semakin lama seseorang itu buat dosa tu, semakin melekat dan sebatilah perbuatan tersebut dengan dirinya. Ini juga penghalang yang besar buat calon-calon awwabiin. Kerana nafsu kita sudah terbiasa dengan dosa dan seolah-olah kalau tak buat benda tu, kita tak boleh hidup. Apa yang sebenarnya diri kita adalah diri kita yang asal. Lihat semula gambar kita masa kecik, renunglah betapa innocent nya kita masa tu. Kita dilahirkan dalam keadaan yang suci bersih daripada sebarang noda. Nah, itulah diri kita sebenarnya. Wajah lemah tak bermaya yang kita lihat dan tatap hari-hari tu adalah wajah insan yang terpedaya dengan godaan. Bangkitkan semula diri dengan taubat dan istiqamah. Sebab tu, antara petua yang ulama' bagi untuk bangkitkan seri muka ialah dengan melazimi istighfar.

         "Maka aku (Nabi Nuh) berkata,"Mintalah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun" Nuh:10


No comments:

Post a Comment