Tuesday, June 9, 2015

Terima Kasih buat Abah Tercinta

      Dah lama aku tak update blog, jadi aku ingat nak buat  blog baru dengan sedikit perubahan, walaupun tak ada lah hebat pun. Kali ni, aku nak cakap pasal abah yang pernah aku tulis dalam blog sebelum ni (baca: arwah abah). Awal tahun ni, dia meninggalkan kami sekeluarga pergi bertemu Penciptanya buat selamanya. 

     Kenangan bersama arwah memang sangat menyentuh perasaan tambahan pula kami sekeluarga baru je pindah rumah baru di Salak Tinggi. Genap seminggu kami pindah masuk rumah ni, abah pun meninggal. Sebagai seorang insan yang banyak mencorak hidup aku, semestinya ia bukan satu perpisahan yang mudah dan senang untuk diterima. 

     Setahun sebelum abah meninggal, dia telah diuji oleh Allah dengan ditarik nikmat berjalan. Kaki kanannya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang merebak pantas. Jangkitan kuman tu puncanya apabila abah eksiden motor dan kakinya berdarah. Mungkin disebabkan luka tu tak dibersihkan dengan cara yang betul, kuman pun merebak sehingga ke atas lutut. Akibatnya, abah tak sedarkan diri dan meracau. Kami hubungi ambulans untuk hantar abah ke hospital Kuala Pilah bagi rawatan selanjutnya.

     Setelah dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah, abah ditempatkan di dalam wad ICU bagi menerima rawatan rapi. Abah masa tu memang dah tak sedarkan diri dan perlu kepada alat bantu pernafasan. Doctor beritahu kami yang jangkitan kuman tu da sampai ke lutut dan mesti dibedah kalau nak selamatkan nyawanya. Masa tu aku tak ada, aku terlibat dengan Debat Arab di UIA dan tak sangka keadaan abah boleh jadi seserius tu. 

     Seminggu sebelum tu, abah, mak dan abang aku datang ke Kuala Lumpur. Saja nak makan angin katanya. Yang sebenarnya nak makan nasi arab hadhramawt di Jalan Ampang. Aku la yang bawa pergi makan nasi arab tu. Masa tu kaki abah memang da luka dan memang da letak antiseptic dan balut sekali. Tapi memang ada bau la kat kaki tu.

     Apa pun Alhamdulillah, lepas doctor potong kaki abah, kesihatan abah bertambah baik dan selepas lima hari, abah sedar seperti biasa. Kalau tidak, memang abah meracau jela, tak hirau sekeliling. Disebabkan memang sepatutnya kesan morfin tu habis da dalam sehari dua, kami syak adalah "sesuatu" yang buat abah meracau. Kami pun minta pengamal perubatan Islam yang kami rasa yakin untuk meruqyah abah dan akhirnya dengan izin Allah, abah sedar macam biasa.

     Lepas da sedar, abah cakap, dia rasa tenang sangat. Sebelum ni, dia rasa macam berat je kepala dan sempit dada. Sejak tu, abah sentiasa amalkan solat rawatib dan tahajjud. Sebelum ni abah kadang-kadang tinggal juga solat sunat tu. Mungkin inilah hikmah daripada musibah, yang mana sakit itu mensucikan hati, membuat hambaNya kembali. Boleh jadi inilah proses penghapusan dosa sebelum abah dijemput menghadap ilahi.

     Abah diberi peluang oleh Allah untuk memperbaiki amalan dan kekurangan dalam tempoh setahun. Tak semua orang dapat peluang kedua. Aku bersyukur kerana umur abahku dihabiskan dengan amal taqwa dan husnul khatimah, insyaAllah. Pada malam abah tenat, abah meracau lagi, kali ini abah tak henti-henti zikir dan solat. Sampailah keesokan paginya pukul 10 pagi, abah selamat menghembuskan nafas terakhir dan dijemput bertemu dengan Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

     Terima kasih abah atas segala jasa yang abah dah buat. Semoga Allah mengampuni segala dosa dan kesalahanmu. Damailah dikau di sana wahai abahku yang sangat ku rindui. Raya kali ini tak dapat kita bersama, moga di akhirat nanti Allah menyatukan kita kembali dalam lindungan rahmatNya, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment