Thursday, June 11, 2015

Untuk Kita Pendosa

     Sejarah telah menunjukkan manusia merupakan makhluk yang sangat sinonim dengan kerosakan dan kebinasaan. Di mana ada yang tertindas, di situ wujud penindas, penzalim dan penjenayah. Hakikat manusia itu sendiri tidak lari daripada berbuat kesalahan dan dosa. Zalim itu sama ada terhadap diri sendiri atau pun orang lain. Kerana itu Rasulullah s.a.w menyebut bahawa setiap bani adam itu adalah pesalah, dan sebaik-baik pesalah itu adalah yang bertaubat. 

     Iman itu sentiasa naik dan turun bagi kita manusia biasa. Kadang-kadang kita cenderung kepada melakukan kesilapan dan pada sesetengah waktu, kita mudah pula nak buat ibadah dan amal kebajikan yang lain. Tidak ada antara kita yang bukan maksum ni, orang yang tidak pernah melakukan kesalahan.

Di mana letaknya pemisah?

     Sudah tentu tidak sama orang yang berbuat kebaikan dan orang yang sebaliknya. Tidak sama. Disebabkan semua pernah melakukan silap dan dosa, apakah yang membezakan kita? Adakah seorang penzina itu sentiasa hina dan keji? Tidak. Semestinya tidak. Harapan seorang hamba serta keinginannya untuk berubah itu adalah pemisah antara para pendosa dan pelaku maksiat.

     Seorang hamba itu apabila dia menyedari kesilapannya lalu mempasakkan dalam hatinya "aku ingin berubah" "aku nak masuk syurga" "Allah sayangkan aku", kemudian dia berlari ke pangkuan, dakapan rahmat dan kasih sayang Allah, mana mungkin Allah akan menolak hamba tersebut. Dia yang menyayangi hamba-hambaNya masih terus menerus memberi peluang dan membuka pintu pengharapan kepada para pendosa yang ingin kembali. Sungguh, Tuhan tu benar-benar pengasih. Insan, apabila ia berbuat sesuatu dosa atau kesilapan, Allah tidak terus menghukumnya. Bahkan masih lagi dia diberi udara untuk bernafas, bumi untuk berpijak dan atap untuk ia berteduh.

     Keinginan dan nawaitu untuk berubah tu saja sudah memadamkan dosa-dosanya kerana niat seorang muslim itu lebih baik daripada amalnya. Kemudian dia susuli azam itu dengan amal kebajikan, itulah sebaik-baik orang yang bertaubat.

          "Dan (orang bertaqwa itu ialah) orang-orang yang apabila ia melakukan kesalahan atau           menzalimi diri mereka sendiri, mereka ingat Allah seraya meminta ampun daripadaNya atas dosa-dosa mereka, siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah?" Ali Imran:135

Apakah penghalang?

     Kembalinya seorang insan kepada Tuhannya merupakan antara nikmat terbesar baginya. Semestinya sesuatu yang mahal tu tidak datang bergolek atau secara mudah. Penghalang bagi proses hijrah ini selalunya kembali kepada faktor dan keadaan seseorang individu. Namun, apa pun, semuanya terbit daripada keinginan dan pengharapannya kepada Tuhan.

     Kebanyakan manusia tu bila dia nak kembali atau berhijrah, mula datang bisikan-bisikan jahat yang cakap "poyolah kau ni" "bajet baik pulak" "kau pon sama je". Percayalah, itu semua bisikan syaitan yang takut dan lemah apabila "regular victim" dia nak keluar daripada perangkap sarang syaitan. Allah takkan jemu untuk terima taubat kita sampailah kita sendiri rasa jemu dan malu nak bertaubat.

     Semakin lama seseorang itu buat dosa tu, semakin melekat dan sebatilah perbuatan tersebut dengan dirinya. Ini juga penghalang yang besar buat calon-calon awwabiin. Kerana nafsu kita sudah terbiasa dengan dosa dan seolah-olah kalau tak buat benda tu, kita tak boleh hidup. Apa yang sebenarnya diri kita adalah diri kita yang asal. Lihat semula gambar kita masa kecik, renunglah betapa innocent nya kita masa tu. Kita dilahirkan dalam keadaan yang suci bersih daripada sebarang noda. Nah, itulah diri kita sebenarnya. Wajah lemah tak bermaya yang kita lihat dan tatap hari-hari tu adalah wajah insan yang terpedaya dengan godaan. Bangkitkan semula diri dengan taubat dan istiqamah. Sebab tu, antara petua yang ulama' bagi untuk bangkitkan seri muka ialah dengan melazimi istighfar.

         "Maka aku (Nabi Nuh) berkata,"Mintalah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun" Nuh:10


Wednesday, June 10, 2015

Ramadhan Al Murtabak

     Kurang daripada lapan hari lagi untuk kita menyambut bulan yang dinanti ketibaannya oleh hampir keseluruhan umat Islam (bukan semua). Setiap kita mempunyai memori masing-masing dalam bulan ibadah ini. Antara kenangan yang aku ingat sampai sekarang ialah berpuasa ketika berada di Kelantan. Masa tu aku masih belajar di Asasi Pengajian Islam, UM. Kemeriahan Ramadhan di negeri ni bukan seperti di negeri-negeri lain yang mana banyak program ihya' ramadhan dijalankan oleh kerajaan negeri. Qaryah Ramadhan atau perkampungan Ramadhan merupakan agenda utama yang menjadi tumpuan ramai muslimin dan muslimat untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah. Menjadi suatu kebiasaan masjid-masjid di sini untuk meng'import' imam-imam dari negara Arab.

     Menjemput para imam arab ni pada aku bukanlah sesuatu perkara yang membanggakan atau boleh dibanggakan. Sebabnya? Kelantan mempunyai berpuluh-puluh sekolah tahfiz sama ada yang dikelola oleh kerajaan negeri atau kerajaan pusat. Bagaimana mungkin satu negeri yang digelar serambi Mekah masih lagi perlu bawa masuk imam-imam arab. Perkara ni bagi aku, kurang rasional melainkan hanya satu tindakan yang mem'bazir' dan populis. 



     Cukup dengan sedikit komentar mengenai jemputan kepada pak-pak arab sebagai imam di sini. Biasa yang aku perhati, kita terlalu banyak membeli juadah untuk berbuka sampai selalunya banyak yang membazir. Kita puasa untuk berbuka atau puasa untuk capai taqwa? Tu satu persoalan yang perlu ditanya kepada diri sendiri. Tujuan puasa tu sendiri untuk menjadi orang yang bertaqwa. Bukan nak menghalang orang membeli dan sebagainya, tapi sebab tak nak membazir. Kononnya bila berpuasa, kita dapat rasa kesusahan saudara-saudara kita di Palestin, Afrika Selatan dan Rohingya. Kau dah lahap 3 keping murtabak, nak sembang kau rasa susah derita homeless dan orang yang tak makan 3 hari? Syaitan dah kena ikat, jangan kau pula jadi syaitan.

     Sangka baik jela pada orang-orang yang bawa balik 6 beg plastik juadah berbuka dari bazar ramadhan, mungkin dia punya wife tak masak atau ada anak ramai. Cuma bagi kita sendiri, kena tengok sekadar mana yang kita perlu, tu yang kita beli. Kalau rasa dah terlebih, bagi jela dekat jiran sebelah rumah, dapat juga pahala puasa. 
  

     Suatu hakikat yang agak menakutkan adalah apabila telah masuk bulan Ramadhan, perangai kita masih sama, tidak berubah apatah lagi bertambah baik. Pada masa tu kita sedar yang tu lah diri kita sebenarnya. Hanya kita yang berdepan dengan nafsu kita. Bulan-bulan biasa, kita senang nak menyalahkan syaitan. Sekarang ni, syaitan dah diikat, namun diri kita sama juga tak berubah, masih dengan perangai syaitonnn. Dalam hadis, Nabi cakap syaitan dah berputus asa untuk menyesatkan kita dalam perkara-perkara besar. Benda-benda yang kita cakap remeh ni lah sebenarnya yang kadang-kadang buat kita tergelincir.

     "Banyak makan, kurang produktiviti, kurang ibadah, kurang to'ah".
     "Apabila perut penuh, kosonglah fikiran dan keraslah hati".

Tuesday, June 9, 2015

Terima Kasih buat Abah Tercinta

      Dah lama aku tak update blog, jadi aku ingat nak buat  blog baru dengan sedikit perubahan, walaupun tak ada lah hebat pun. Kali ni, aku nak cakap pasal abah yang pernah aku tulis dalam blog sebelum ni (baca: arwah abah). Awal tahun ni, dia meninggalkan kami sekeluarga pergi bertemu Penciptanya buat selamanya. 

     Kenangan bersama arwah memang sangat menyentuh perasaan tambahan pula kami sekeluarga baru je pindah rumah baru di Salak Tinggi. Genap seminggu kami pindah masuk rumah ni, abah pun meninggal. Sebagai seorang insan yang banyak mencorak hidup aku, semestinya ia bukan satu perpisahan yang mudah dan senang untuk diterima. 

     Setahun sebelum abah meninggal, dia telah diuji oleh Allah dengan ditarik nikmat berjalan. Kaki kanannya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang merebak pantas. Jangkitan kuman tu puncanya apabila abah eksiden motor dan kakinya berdarah. Mungkin disebabkan luka tu tak dibersihkan dengan cara yang betul, kuman pun merebak sehingga ke atas lutut. Akibatnya, abah tak sedarkan diri dan meracau. Kami hubungi ambulans untuk hantar abah ke hospital Kuala Pilah bagi rawatan selanjutnya.

     Setelah dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah, abah ditempatkan di dalam wad ICU bagi menerima rawatan rapi. Abah masa tu memang dah tak sedarkan diri dan perlu kepada alat bantu pernafasan. Doctor beritahu kami yang jangkitan kuman tu da sampai ke lutut dan mesti dibedah kalau nak selamatkan nyawanya. Masa tu aku tak ada, aku terlibat dengan Debat Arab di UIA dan tak sangka keadaan abah boleh jadi seserius tu. 

     Seminggu sebelum tu, abah, mak dan abang aku datang ke Kuala Lumpur. Saja nak makan angin katanya. Yang sebenarnya nak makan nasi arab hadhramawt di Jalan Ampang. Aku la yang bawa pergi makan nasi arab tu. Masa tu kaki abah memang da luka dan memang da letak antiseptic dan balut sekali. Tapi memang ada bau la kat kaki tu.

     Apa pun Alhamdulillah, lepas doctor potong kaki abah, kesihatan abah bertambah baik dan selepas lima hari, abah sedar seperti biasa. Kalau tidak, memang abah meracau jela, tak hirau sekeliling. Disebabkan memang sepatutnya kesan morfin tu habis da dalam sehari dua, kami syak adalah "sesuatu" yang buat abah meracau. Kami pun minta pengamal perubatan Islam yang kami rasa yakin untuk meruqyah abah dan akhirnya dengan izin Allah, abah sedar macam biasa.

     Lepas da sedar, abah cakap, dia rasa tenang sangat. Sebelum ni, dia rasa macam berat je kepala dan sempit dada. Sejak tu, abah sentiasa amalkan solat rawatib dan tahajjud. Sebelum ni abah kadang-kadang tinggal juga solat sunat tu. Mungkin inilah hikmah daripada musibah, yang mana sakit itu mensucikan hati, membuat hambaNya kembali. Boleh jadi inilah proses penghapusan dosa sebelum abah dijemput menghadap ilahi.

     Abah diberi peluang oleh Allah untuk memperbaiki amalan dan kekurangan dalam tempoh setahun. Tak semua orang dapat peluang kedua. Aku bersyukur kerana umur abahku dihabiskan dengan amal taqwa dan husnul khatimah, insyaAllah. Pada malam abah tenat, abah meracau lagi, kali ini abah tak henti-henti zikir dan solat. Sampailah keesokan paginya pukul 10 pagi, abah selamat menghembuskan nafas terakhir dan dijemput bertemu dengan Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

     Terima kasih abah atas segala jasa yang abah dah buat. Semoga Allah mengampuni segala dosa dan kesalahanmu. Damailah dikau di sana wahai abahku yang sangat ku rindui. Raya kali ini tak dapat kita bersama, moga di akhirat nanti Allah menyatukan kita kembali dalam lindungan rahmatNya, insyaAllah.